LONDON – Steven Gerrard dijangka membuat pengumuman mengejutkan mengenai keputusan untuk meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini, demikian menurut beberapa laporan hari ini.
Masa depan kapten The Reds di Anfield itu kini menjadi tumpuan spekulasi sejak beberapa bulan lalu dan beliau dipercayai sudah membuat keputusan menyambung karier bola sepaknya di luar negara selepas kontraknya tamat musim ini.
Pemain berusia 34 tahun itu melengkapkan dua penalti pada pertemuan Liverpool menentang Leicester, di Anfield, malam tadi yang berakhir dengan seri 2-2.
Beliau disebut-sebut akan berhijrah ke liga bola sepak Amerika (MLS) LA Galaxy, demikian menurut Daily Express yang menyebut Gerrard bakal mengumumkan rancangannya itu hari ini untuk mengelak lebih banyak spekulasi terhadapnya.
Malah Liverpool tidak menghalang Gerrard daripada memaklumkan mengenai masa depan bola sepaknya bermula detik tahun baharu 2015.
Liverpool menawarkan Gerrard kontrak baharu pada November lalu namun difahamkan beliau sudah membuat keputusan masanya tiba untuk beliau meninggalkan kelab itu dan menimpa pengalaman yang berbeza.
Gerrard menyertai Liverpool sejak usia lapan tahun dan sudah melakukan 695 penampilan sepanjang bersama kelab itu dengan meledak 180 gol dan membolot 11 trofi kejuaraan. – AFP