KOTA KINABALU – Sistem percukaian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun ini adalah sistem percukaian terbaik untuk negara dan rakyat, kata Yang Dipertua Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah, Noor Taip Suhaili.
Melalui GST, kata Noor Taip, pendapatan kerajaan akan bertambah dan boleh digunakan untuk memaju dan membangunkan negara demi kemakmuran serta kesejahteraan semua lapisan rakyat.
“GST adalah dasar terbaik negara dan patut dipatuhi dan dilaksanakan mengikut jadual. Bagi kami di persatuan, kami amat mengalu-alukan pelaksanaannya. Kami akan memberi kerjasama terbaik kepada agensi berkaitan untuk pastikan GST dapat dilaksanakan mengikut jadual.
“Agensi berkaitan mesti tegas dalam melaksanakan dan menguatkuasakan GST. Tidak ada kompromi. Sistem percukaian ini sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi. Sistem ini tidak ada kerumitan,” katanya kepada Bernama.
Menurut Noor Taip semua lapisan rakyat, terutama golongan peniaga, tidak patut mementingkan diri dengan mencari pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar cukai seperti ditetapkan kerajaan.
Kata Noor Taip sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab membayar cukai mesti dipatuhi kerana itulah bentuk dan cara rakyat untuk menyumbang balik sebahagian kekayaan yang mereka peroleh untuk pembangunan negara.
Justeru beliau meminta kerajaan supaya tidak berganjak daripada pendirian untuk melaksanakan GST seperti dijadualkan serta tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan dan mengeksploitasi isu GST bagi kepentingan sendiri.
“Mereka ini (yang menolak GST) cuma memikirkan tentang kuasa dan bukan untuk membela rakyat. Kita tidak mahu mencampuri urusan politik mereka. Tetapi rakyat harus tahu menilai dasar-dasar yang baik untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Usahawan Bumiputera Sabah Mohammad Zikrun berkata, GST akan berhasil jika penggiat industri bekerjasama untuk melaksanakannya dan tidak menjadi pengelak cukai yang tegar.
Katanya setiap penggiat industri termasuk di negeri ini harus terlebih dahulu memahami mekanisme dan manfaat yang boleh diperoleh menerusi sistem GST sebelum mendakwa kononnya regim percukaian ini merugikan mereka.
“Beberapa taklimat GST yang disertai banyak memperluas pengetahuan saya berhubung pentingnya satu sistem percukaian tersusun dan efisien yang pada akhirnya bermanfaat untuk negara dan industri itu sendiri.
“Apabila aliran ekonomi negara berada pada tahap memberangsangkan sudah pasti aktiviti perniagaan bertambah rancak sekali gus penggiat industri berpeluang memperbesar potensi perniagaan mereka,” katanya.
Mohammad berkata pematuhan cukai daripada penggiat industri adalah penting kerana hasil kutipan cukai ini akan digunakan untuk pembangunan demi kesejahteraan negara dan rakyat.
Di TAWAU, Presiden Persatuan Kemasyarakatan Melayu, Tawau Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar berkata tidak wajar pihak pembangkang meminta pelaksanaan GST ditangguhkan kerana GST telah dibincang serta dikaji secara halus oleh kerajaan.
Beliau berkata pendedahan atau penerangan tentang GST juga telah dibuat kepada semua peringkat masyarakat sama ada melalui ceramah, radio dan akhbar.
“Oleh itu tindakan pembangkang untuk meminta pelaksanaan GST itu ditangguhkan adalah semata-mata untuk kepentingan politik mereka sahaja dan jauh sekali untuk membela rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau juga berkata masyarakat perlu menerima keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST demi kebaikan masa depan negara. – BERNAMA