HANYA kerana 10 sen, seorang pemandu teksi terpaksa menanggung kesakitan akibat cedera dipukul dengan kayu oleh salah seorang penumpangnya.
Bukan itu sahaja, penumpang tersebut turut mengamuk dengan menghentak kayu pada kenderaan yang menjadi mata pencariannya hingga mengalami kerosakan.
Menurut Mohd Salim Meerdad, 50, kepada akhbar Harian Metro, suspek yang merupakan lelaki warga Indonesia berusia lingkungan lewat 30-an menggunakan perkhidmatannya dari Taman Mulia Jaya menuju Ampang Campuran, jam 6.15 petang, pada Selasa.
Ketika tiba di destinasi, lelaki tersebut dan anak lelakinya meminta Salim berhenti di bahu jalan.
“Saya cakap tidak boleh kerana kawasan itu bukan hentian dan bimbang disaman. Jadi, saya turunkannya di hentian kira-kira tiga meter ke depan dan ketika itu, meter teksi bertambah sepuluh sen.
“Saya kemudian memberitahu harga tambang RM5.40 sen tetapi dia cuma beri saya RM5.30 sen. Bila saya minta baki 10 sen, dia terus memaki hamun saya.
“Dia kemudian turun daripada teksi, mengambil batu di bahu jalan dan menghentak but teksi saya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
Pemandu Teksi Mengamuk Terhadap Pegawai SPAD