ALOR SETAR – Harga barang keperluan yang dikesan meningkat mendadak disebabkan bencana banjir baru-baru ini, dijangka kembali stabil sebelum musim perayaan Tahun Baru Cina bulan depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini kerana bekalan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ikan, telur dan ayam akan pulih seperti sedia kala dalam waktu itu.
Harga barang keperluan meningkat mendadak berikutan kekurangan bekalan disebabkan berlakunya banjir besar di Pantai Timur, Perak dan Johor.
“Orang ramai tidak perlu risau mengenai harga barang tertentu yang dikatakan naik mendadak. Saya yakin Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah menyediakan bekalan yang cukup untuk musim perayaan ini.
“Kami juga akan lancarkan harga kawalan musim perayaan bulan depan dan tidak akan berlaku kenaikan harga yang melampau,” katanya selepas menyerahkan bantuan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu, di sini hari ini.
Ahmad Bashah berkata sekiranya orang ramai mengetahui ada peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah, mereka boleh membuat laporan di pejabat kementerian berdekatan untuk tindakan lanjut.
“Kami tempatkan bilik gerakan di negeri dilanda banjir yang beroperasi 24 jam dan mereka boleh laporkan segera untuk kami ambil tindakan tegas kepada peniaga tidak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA