LONDON – Hasrat seorang pemuda Britain, CJ Burke untuk mencipta nama di Bulgaria sebagai pemain bola sepak terpaksa ditangguhkan selepas dia dikatakan menghidap Ebola hanya disebabkan Burke tersalah sebut perkataan itu.
Keadaan ini menyebabkan Burke terpaksa dikuarantin dan dia juga tidak dapat menandatangani kontrak dengan kelab PFC Beroe Stara Zagora untuk bermain dalam Liga Eropah.
Burke, 21, berkata, semasa latihan, dia cuba menyebut perkataan `Bolen’ yang merujuk kepada tidak sihat dalam bahasa Bulgaria namun kelab itu menyangka dia cuba menyebut perkataan Ebola.
Ia sekali gus mencetuskan panik hinggakan Burke dan kawannya dikuarantin selama empat hari.
“Ia umpama mimpi ngeri. Lebih malang saya dikuarantin di hospital dan makanannya amat teruk,’’ katanya.
Burke berpindah ke Bulgaria selepas berhenti dari universiti setelah gagal menukar bidang pengajian daripada sains perubatan bio kepada perubatan.
Dia kemudiannya terpaksa mencari kursus perubatan yang ditawarkan universiti lain dengan kos yang lebih rendah dan akhirnya menemui Universiti Trakia di Stara Zagora dan berpindah ke sana pada bulan September lalu.
“Saya kemudiannya dibimbing oleh guru saya yang pernah bermain bola sepak di Amerika Syarikat dan saya telah menjalani beberapa latihan serta rundingan dengan kelab terbabit.
“Malangnya saya tidak dapat menandatangani kontrak sebaliknya dikuarantin pula,’’ katanya.
Burke bagaimanapun berpeluang untuk menandatangani semula kontrak tersebut dengan PFC Beroe Stara Zagora pada penghujung bulan ini.