HOSPITAL Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang melakar sejarah dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pembedahan untuk pesakit berusia lebih 100 tahun.
Kejayaan itu mungkin yang pertama di negara ini ataupun di Pahang.
Ia berjaya dilakukan oleh Pakar Bedah Ortopedik Dr V A Yakub Abraham pada 14 November tahun lepas untuk memasukkan plat pada paha kanan pesakit wanita, Hee Lian, 104, yang patah tulang pahanya.
MENARIK – Ibu Tarik Sendiri Kembar Ketika Pembedahan Caesarean
Dia patah tulang selepas terjatuh di rumah anak lelakinya juga di Kuantan dan dimasukkan ke hospital pada 6 November lepas.
Hee, dilahirkan pada 11 Ogos 1910, dibenarkan pulang ke rumah pada 21 November selepas menjalani pembedahan itu.
Prosedur pembedahan itu dianggap sebagai satu cubaan berani pertama yang pernah dilakukan oleh sebuah hospital kerajaan ke atas pesakit paling tua.
Pengarah HTAA, Datuk Dr Marlia Mohamed Salleh berkata Hee merupakan pesakit paling tua di hospital itu yang menjalani pembedahan yang berjaya dan mungkin pesakit tertua di Malaysia.
Beliau menyifatkan pembedahan yang dijalankan oleh pasukan pembedahan diketuai oleh Dr Jacob sebagai mencatat rekod hospital dan ia merupakan usaha berpasukan oleh pakar bedah, pakar bius Dr Hafizah Mohamed, jururawat dan mereka yang terlibat dalam rawatan pasca penjagaan danpemulihan.
Prosedur selama dua jam itu membabitkan saduran perkutaneus invasif secara minimum pada paha kanan Hee Lian, katanya.
Hee pernah mengalami patah pada kaki yang sama 10 tahun lepas yang memerlukan prosedur skru pinggul dilakukan.
Dr Marlia berkata Hee dapat melepasi prosedur itu dengan mudah kerana beliau tidak mempunyai komplikasi perubatan dan tidak menghidap tekanan darah tinggi atau kencing manis.
“Beliau berada dalam keadaan stabil sepanjang prosedur dan selepas pembedahan, pesakit pulih tanpa apa-apa jangkitan pada luka,” katanya. -MYNEWSHUB.CC
Pembedahan Tibia Di Kaki Selepas Kemalangan