KUALA LUMPUR – Aktiviti pembelian hartanah dijangka melonjak sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April, 2015, kata iProperty.com Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Georg Chmiel, berkata pasaran hartanah dijangka pulih semula selepas pembeli dan pelabur hartanah dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
“Sejurus pelaksanaan GST, pasaran hartanah berkemungkinan menyaksikan sedikit penurunan. Mengikut perkiraan yang dibuat, pelaksanaan GST mungkin meningkatkan kos antara tiga dan empat peratus daripada harga semasa,” katanya.
Chmiel berkata, iProperty.com juga akan menganjurkan forum mengenai GST pada ekspo tiga hari, ‘Lifestyle Exhibition for Property, Home and Living’ bagi memudahkan pembeli dan pelabur hartanah memahami kesan GST terhadap pasaran sektor berkenaan.
Acara yang diadakan di Pusat Pameran Mid Valley pada 31 Januari 2015 akan disertai lebih 60 pempamer dan menarik kira-kira 50,000 pembeli dan pelabur hartanah.
“Seminar itu khusus bagi memenuhi keperluan dan spektrum pelbagai isu berkaitan hartanah, termasuk peluang, cabaran dan maklumat yang perlu diketahui bagi pelaburan hartanah,” katanya. – BERNAMA