TAWAU – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat mengingatkan masyarakat agar tidak menggunakan laman sosial untuk menabur fitnah dan mencetuskan sensitiviti orang lain.
Beliau berkata pengguna khususnya generasi muda perlu menggunakan laman sosial dengan lebih berhemah dan tidak menggunakan kebebasan sewenang-wenangnya sehingga boleh menimbulkan kemarahan sesuatu pihak.
“Pengguna laman sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp jangan membazir masa dengan perkara yang tidak berfaedah kerana ia tidak mendatangkan keuntungan.
“Kita perlu guna laman sosial seperti Facebook dengan sebaik mungkin dan menjadikan ia sebagai wadah untuk merapatkan hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai talian mudah alih di sini, hari ini.
Hamisa berkata, masyarakat juga perlu menggunakan pertimbangan akal dan akhlak ketika melayari laman sosial.
“Kita haruslah berfikir secara rasional semasa melayari laman sosial bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini terutamanya melibatkan perpaduan kaum,” katanya. – BERNAMA