SANDAKAN – Masyarakat khususnya penduduk yang tinggal di pesisir pantai di daerah ini diminta agar tidak mudah mempercayai berita palsu yang sengaja dibuat untuk menggugat ketenteraman di negeri ini.
Menggesa demikian, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Edris berkata masyarakat harus merujuk kepada pihak keselamatan atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk mengetahui kesahihan sesuatu berita.
Masyarakat perlu terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan ESSCom, dan memberi maklumat yang benar agar sebarang ancaman dapat ditangani dengan segera, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri Gum-Gum itu berkata sebagai contoh penyebaran khabar angin pada Disember tahun lepas bahawa sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina telah mencerobohi perairan Sandakan dan mendarat di Kampung Luboh dalam Mukim Rancangan Sungai Manila.
Katanya ia telah mencetuskan ketakutan kepada orang ramai disebabkan sikap masyarakat mudah mempercayai sumber disebarkan menerusi media sosial.
Apabila pemeriksaan dilakukan ESSCom, ia didapati palsu, kata beliau. – BERNAMA