KUALA LUMPUR – Polis mesti mengenakan tindakan undang-undang yang tegas ke atas warga asing yang melakukan jenayah di negara ini.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching mendakwa, sebanyak 66 daripada 602 kes bunuh pada tahun 2012 dilaporkan melibatkan warga asing.
Menurutnya, sebanyak 167 daripada 336 kes bunuh dari Januari hingga Ogos 2014 turut melibatkan warga asing.
“Dua jenayah lain yang melibatkan warga asing adalah rompakan bersenjata. Sebanyak 34 warga asing terlibat dalam kes rompakan bersenjata pada 2012 dan 108 warga asing terlibat dalam jenayah itu dari Januari hingga Ogos 2014.
“Secara umum, satu peratus daripada indeks jenayah pada 2012 dilakukan oleh warga asing tetapi meningkat kepada 11.2 peratus pada tahun 2014,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Nie Ching berkata, pihak polis perlu membuat analisis penuh mengenai trend itu dan mengambil tindakan tegas ke atas warga asing yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah di negara ini.
Beliau turut meminta polis mengambil tindakan untuk menghalang kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia untuk mengelakkan indeks jenayah dalam kalangan warga asing terus meningkat. – mynewshub.cc