JEPUN hari ini, 17 Januari menyambut ulangtahun ke-20 kejadian gempa bumi dahsyat yang berlaku di bandar Kobe yang mengorbankan lebih 6,400 orang.
Agensi berita AFP melaporkan sambutan itu disertai dengan harapan agar negara yang kerap dilanda bencana gempa bumi itu sentiasa bersedia untuk menghadapi gempa yang lebih besar pada masa akan datang.
Lebih 14,000 orang berkumpul untuk memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu dengan kekuatan 7.2 magnitud pada pukul 5.46 pagi, 17 Januari 1995.
MENARIK – Ribuan Warga Aceh, Mangsa Peringati Sedekat Tsunami
Kejadian itu membunuh 6,434 orang, memusnahkan hampir keseluruhan bandar itu sehingga menyebabkan satu kajian semula ke atas persiapan menghadapi gempa bumi bagi negara Jepun.
Kemudian, gempa bumi lebih besar dengan kekuatan 9.0 magnitud melanda Miyagi, Jepun pada Mac 2011 sehingga mencetuskan ombak Tsunami yang membadai pantai timur laut negara itu membunuh kira-kira 18,000 orang.
Gempa itu pada tahun itu juga mencetuskan kecemasan nuklear terbesar dunia.
Pada majlis peringatan itu, mereka yang terselamat ketika gempa Kobe bersama ahli keluarga mereka berkumpul sebelum fajar menyusun jambangan bunga dan menyalakan ribuan lilin di sebuah taman yang pernah dijadikan pusat pemindahan ketika kejadian itu.
Lewat hari ini, Maharaja Jepun Akihito dan Maharani Michiko menghadiri majlis ulangtahun di bandar itu dan bertafakur selama satu minit bersama 500 orang yang lain.
“Dengan mempelajari teladan daripada bencana itu, kini kami akan melakukan yang terbaik untuk membina komuniti yang boleh hidup dalam keadaan yang selamat,” kata Menteri Pengurusan Bencana Jepun, Eriko Yamatani. – MYNEWSHUB.CC
Visual Keadaan Gempa Bumi Di Kobe, Jepun 1995
http://youtu.be/emhqTqT_omE