Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyiasat kes kanak-kanak perempuan yang dikurung dan didera di Butterworth, Pulau Pinang yang dilaporkan media semalam.
Timbalan Menterinya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata siasatan dilakukan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kanak-kanak itu kini berada di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Kita (kementerian) akan mendapatkan laporan dari JKM Pulau Pinang dan sekiranya mahkamah keluarkan perintah, kanak-kanak itu akan ditempatkan di rumah penjagaan JKM,” katanya.
BACA JUGA – Murid Tahun Satu Tidak Ke Sekolah Dipercayai Didera
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Hari Keluarga Pusat Dalam Komuniti (PDK) DUN Johor Jaya hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita) Datin Seri Rosni Omar.
Semalam, Mynewshub.cc turut melaporkan kes berkenaan apabila kanak-kanak itu yang berusia tujuh tahun hanya datang ke sekolah pada hari pertama sahaja dan kelihatan tidak bermaya.
Kerana curiga, guru kanak-kanak itu membuat laporan polis membawa kepada penemuan dia dikurung di sebuah rumah dan tidak diberi makan.
Mstar Online hari ini melaporkan polis telah bertindak menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim dalam laporan semalam berkata pihaknya yang pergi ke rumah murid itu di Sungai Dua mendapati dia dikurung di rumah itu dalam keadaan lapar.
“Setelah polis memasuki rumah berkenaan yang berkunci, murid itu ditemui dalam keadaan kurus, lemah dan tidak bermaya di dalam sebuah bilik yang juga berkunci.
“Kami terpaksa mencari ayah kanak-kanak itu untuk mendapatkan kunci bagi membuka pintu rumah yang juga tidak mempunyai bekalan air dan elektrik,” katanya.
Rumah itu dalam keadaan gelap dan berselerak.
“Kanak-kanak itu hanya berkata dia lapar dan meminta makanan,†katanya. – MYNEWSHUB.CC
Remaja Dikurung Dibiar Kebuluran Di Taman Semarak, Nilai