KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menangguhkan Karnival Transformasi Terengganu Baharu (TTB) peringkat Kuala Nerus yang sepatutnya diadakan pada 29 hingga 31 Jan ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penangguhan program itu bagi menghormati kemangkatan Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar, Sabtu lepas.
“Dalam tempoh berkabung selama 40 hari, sebarang program berbentuk hiburan adalah tidak dibenarkan dan Karnival TTB tidak terkecuali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengumumkan tarikh baharu penganjuran program tersebut selepas selesai tempoh berkabung.
Almarhum Tengku Intan Zaharah, 86, yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat mangkat di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara pada 3.26 petang Sabtu.
Jenazah baginda selamat disemadikan bersebelahan makam suami baginda, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin di sini semalam. – BERNAMA