KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dengan kerjasama Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya merampas sebuah lori bersama muatan 210 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM168,000 di stesen minyak di Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, semalam.
Pengarah KDRM Kelantan, Datuk Abdullah Zawawi Abd Latif berkata rampasan itu dilakukan pada pukul 5 pagi selepas intipan oleh 11 anggota KDRM dan UPP bermula pukul 3.30 pagi hari sama.
“Lori yang dipandu dari Rantau Panjang itu ditinggalkan di stesen minyak tersebut selepas menyedari diekori pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
“Kami percaya ada pihak lain (tonto) yang memantau pergerakan lori terbabit dan membawa lari pemandu lori itu daripada ditangkap pihak berkuasa,” katanya.
Abdullah Zawawi berkata pihaknya percaya sindiket penyeludupan itu menjadikan Kelantan sebagai laluan transit mercun seludup dari Thailand untuk dipasarkan ke Lembah Klang sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan.
Katanya sempadan Kelatan-Thailand yang tidak berpagar hanya dipisahkan oleh Sungai Golok, memberi peluang untuk sindiket melakukan aktiviti penyeludupan.
“Rampasan tersebut adalah yang terbesar setakat ini bagi tahun ini dan ia satu keadaan yang serius,” katanya.
Beliau berkata pihak UPP dan KDRM akan sentiasa meningkatkan kawalan bagi membendung aktiviti penyeludupan di Kelantan.
Katanya siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan kes disiasat mengikut seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. – Bernama