MELIHAT kepada situasi keganasan dan aktiviti pelampau yang semakin kronik, Putrajaya sedang membuat pertimbangan untuk memasukkan semula ciri-ciri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam satu akta baru yang bakal dibentang Mac depan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah tersebut merupakan tindakan rasional bagi menangani senario melibatkan pengganas.
[BACA INI JUGA: Melayu Patah Hati, Kurang Fahaman Agama Tertarik IS]
Bercakap kepada portal The Malaysian Insider beliau berkata, “Kerajaan sudah berjanji ISA tidak akan dikembalikan tapi mungkin selepas tapisan nanti, ada ciri-ciri (peruntukan undang-undang) yang hampir sama dengan ISA.
“Kami mahu undang-undang baru, akta baru kerana kalau kita mempunyai akta baru ini kita dapat pisahkannya mengikut bahagian masing-masing, ada bahagian hukuman, ada bahagian untuk pencegahan, ada bahagian untuk pemulihan dan pelbagai lagi.”
Sambil memberikan contoh insiden berdarah di akhbar satira Charlie Hebdo, Wan Junaidi berkata, tragedi tersebut harus dijadikan iktibar tentang kepentingan mengambil langkah pencegahan oleh kerajaan bagi mengelak ia berlaku di Malaysia.
“Kita tak tunggu orang bom bangunan besar kita, baru kita nak tangkap dia. Mana satu rakyat Malaysia mahu? Kamu nak berlaku kejadian di Paris dahulu atau bagaimana?
“Kadang-kadang kita bercakap tentang demokrasi tapi kita tak pernah tanya sendiri sejauh mana demokrasi yang kita mahukan,” katanya.
Bagaimanapun beliau menolak untuk mengulas lanjut tentang ciri-ciri akta ISA yang bakal diaplikasikan dalam akta baharu dan meminta semua pihak menunggu hingga Mac bagi mengetahui pengumuman rasmi berkaitannya.
November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencadangkan satu undang-undang khas digubal bagi menghalang keterlibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti pengganas dan militan.
Cadangan tersebut diuar-uarkan beliau ketika membuat pembentangan kertas putih mengenai militan Negara Islam Iraq dan Syiria (ISIS) di Dewan Rakyat. -MYNEWSHUB.CC
ISA Lindungi Keselamatan Semua Kaum – Datuk Ibrahim Ali
https://www.youtube.com/watch?v=09QBXQX348c