MELALUI sebuah akhbar tempatan, persatuan Karyawan dilaporkan sedia menawarkan bantuan guaman buat vokalis kumpulan Slam, Zamani yang diaibkan ketika ditahan kerana kesalahan pengambilan bahan terlarang.
Sebelum ini, sebuah klip video memaparkan Zamani menyanyikan lagu popularnya, Gerimis Mengundang dalam keadaan tangannya bergari telah membuat ramai peminat dan netizen mengecam perbuatan yang dipercayai dilakukan anggota polis di sebuah balai itu.
BACA: Orang Ramai Bantah Video Zamani Diminta Polis Menyanyi
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata beliau kesal dengan kewujudan video tersebut lantas ingin menghulurkan bantuan berupa khidmat bantuan guaman agar penyanyi itu mendapat pembelaan sewajarnya.
“Memang tidak patut berlaku, kalau kita lihat dia dalam keadaan bergari dan disuruh menyanyi. Saya rasa mungkin dia sendiri dalam keadaan terpaksa memandangkan tidak mahu menghadapi sebarang akibat kalau enggan menyanyi,” ulas Freddie.
Presiden Seniman, Zed Zaidi pula berkata, penyebaran klip video tersebut menyebabkan timbul persoalan dalam kalangan orang ramai tentang integriti pihak berkuasa yang diketahui tertakluk kepada etika dan disiplin yang tinggi.
“Bukan setakat golongan artis bahkan imej pihak berkuasa juga tercemar dengan penyebaran video ini,” kata Zed.
BACA: Polis Sudah Kenalpasti Dalang Rakam Klip Video Zamani
Dalam pada itu pengurus kepada Zamani, Johan Aziz memaklumkan pada Khamis, pihaknya memang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab mendedahkan video tersebut kepada khalayak Internet.
Tegasnya tindakan tersebut dilakukan demi maruah penyanyi itu dan keluarganya, tanpa niat menghentam mana-mana pihak.
Zamani yang pernah popular bersama Kumpulan Slam pada tahun 90-an, ditahan Rabu lalu di kediamannya bersama seorang wanita berusia 32 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah. -MYNEWSHUB.CC
Persembahan Zamani Bersama Vokalis-Vokalis Kumpulan Popular Lain Di AIM 2011