SHAH ALAM – Kumpulan Virus gagal melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Februari depan.
Pengumuman itu dibuat juri tetap MLM 2014 iaitu Nur Fazura pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Shah Alam Royal Theater di sini, Jumaat malam.
Penyingkiran Virus yang dianggotai oleh Zizan Razak, Tauke dan Pak Yus telah melayakkan lima peserta lain mara ke peringkat akhir.
Lima peserta yang bakal bertanding adalah Sepahtu, Bocey, Zero dan Shiro.
Manakala satu-satunya peserta solo iaitu Nabil Ahmad turut melayakkan diri ke peringkat akhir.
Pada peringkat separuh akhir, kesemua peserta perlu melakukan dua persembahan dengan tema ‘props’ dan loghat.
Empat juri profesional yang mengadili peserta pada malam itu adalah Datuk Jalaluddin Haasan, Farah Queen, Taufiq Batisha dan Nur Fazura.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, secara keseluruhannya kesemua peserta memberikan persembahan terbaik pada malam itu.
Bagaimanapun katanya, persembahan Virus pada malam itu agak hambar dan bukti populariti tidak boleh dijadikan sandaran untuk menempah tiket ke final.
“Kesemua yang mara ke pertandingan akhir adalah layak kerana mereka telah memberikan persembahan terbaik dan jelas dapat dilihat kesungguhan mereka.
“Begitu juga Virus cuma kemunculan mereka hambar dan kali ini bukan rezeki mereka,” katanya.
MLM 2014 disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna dan Mustika HD. – mStar