KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata langkah-langkah yang munasabah telah diambil untuk mendapatkan perhubungan atau memulakan usaha mencari pesawat MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lepas.
Oleh itu, dakwaan bahawa DCA telah gagal atau cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mencari pesawat itu adalah dinafikan.
Ketua pengarah DCA berkata demikian dalam pernyataan pembelaan yang diperoleh media hari ini, berhubung kes saman yang difailkan dua anak lelaki penumpang pesawat MH370 bagi menuntut ganti rugi berhubung kehilangan pesawat yang dinaiki bapa mereka.
Pernyataan pembelaan itu difailkan pada Disember tahun lepas.
Ketua pengarah DCA, selaku defendan kedua, berkata langkah-langkah untuk mencari pesawat MH370 melibatkan Pusat Operasi Malaysia Airlines, Pusat Kawalan Udara Singapura, Hong Kong dan Phonm Penh untuk menentukan lokasi pesawat itu.
Sementara itu, Malaysian Airline System Berhad (MAS) sebagai defendan pertama, dalam pernyataan pembelaannya menafikan telah gagal dalam menjalankan tugas untuk memastikan suatu penerbangan yang selamat kepada penumpangnya.
Ketua pengarah Jabatan Imigresen selaku defendan ketiga pula berkata pihaknya telah melaksanakan segala tindakan dan mengambil langkah yang wajar serta berhati-hati dalam memeriksa pasport penumpang MH370 selaras dengan peruntukan Akta Pasport 1966.
Justeru itu, kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan dakwaan ia mempunyai kaitan dengan dua orang penumpang yang menggunakan pasport palsu, adalah spekulatif semata-mata.
Mahkamah pada prosiding sebelum ini, menetapkan 17 Feb depan untuk pengurusan kes.
Pada 31 Okt tahun lepas, dua beradik berusia 14 dan 12 tahun melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 39, memfailkan saman terhadap MAS, Ketua Pengarah DCA, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa mereka Jee Jing Hang, 41, penumpang pesawat MH370, telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac.
Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib untuk memastikan penerbangan yang selamat, namun telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.
Selain itu, plaintif mendakwa Ketua Pengarah DCA sebagai defendan kedua, yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan itu selamat, telah gagal dan cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.
Adik-beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen telah gagal dan cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan menggunakan pengenalan palsu.
Mereka juga mendakwa pihak TUDM gagal dan cuai untuk menghantar pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah MH370.
Justeru, kedua-dua plaintif antara lain menuntut ganti rugi terhadap kesemua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865, dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami dua beradik itu. – BERNAMA