KUALA LUMPUR – Lebih 300,000 syarikat telah berdaftar di bawah sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga semalam, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata pada tarikh akhir asal pendaftaran GST semalam, sejumlah 300,730 syarikat telah berdaftar, dan daripada jumlah tersebut, 84 peratus merupakan pendaftaran secara mandatori dan 16 peratus lagi pendaftaran secara sukarela.
“Jumlah ini melebihi jangkaan awal yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Husni berkata pendaftaran sejumlah 266,003 daripada yang mendaftar untuk GST itu melibatkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Beliau berkata berdasarkan sambutan menggalakkan daripada para peniaga terhadap pelaksanaan GST, kerajaan optimis sistem percukaian baharu berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April.
Di samping itu katanya, sistem pengkomputeran MyGST juga telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pelaksanaan GST kelak.
Menurutnya pencapaian yang diraih setakat ini adalah hasil daripada usaha giat yang telah dan sedang dijalankan oleh semua pihak, terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaku agensi pelaksana.
Katanya JKDM sentiasa mengadakan program penerangan secara berterusan bagi memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar supaya peniaga dapat memahami
engan lebih jelas prosedur dan peraturan GST, dan bagi memastikan syarikat yang telah mencapai nilai had RM500,000 berdaftar di bawah GST sebelum 31 Dis 2014.
Kata Ahmad Husni pelaksanaan GST merupakan antara usaha fiskal Kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi negara, membangunkan kemudahan infrastruktur yang moden dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih cekap dalam memacu negara ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.
“Saya yakin menerusi kerjasama daripada pihak Kerajaan, swasta dan rakyat, yang sentiasa memberi sokongan padu dan berterusan dalam usaha memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, akan tercapai,” katanya.
Sementara itu, pendaftaran GST di negeri yang terjejas akibat banjir dilanjutkan sehingga 31 Jan untuk memberi kelonggaran kepada peniaga, terutama di Pantai Timur yang paling teruk terjejas ekoran bencana tersebut, kata Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad dalam satu sidang akhbar di Melaka semalam. – BERNAMA