PENGENDALI restoran nasi kandar popular di Pulau Pinang, Line Clear mempersoalkan tindakan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas peralatan kerusi meja serta peralatan dapur restoran berkenaan, pada Isnin.
Tindakan itu disifatkan sebagai satu tindakan pelik dan melampau kerana ia dibuat pada waktu awal pagi pada ketika tidak ramai pekerja berada di restoran berkenaan.
Salim Madinah dalam satu temubual berkata tindakan itu dilihat sengaja dilakukan pada waktu ketika tidak ramai pihak keluarga pemilik berada di restoran berkenaan.
BACA JUGA – Restoran Nasi Kandar Line Clear Diserbu MPPP Tanpa Notis
“Kenapa tak datang pukul 8 atau 9, kenapa kena datang pukul 4 pagi? Tidak rasa ke ini satu tindakan melampau, datang pukul 4 pagi.
“Saya nak tanya kepada pihak berkuasa pernah tak mereka membuat tindakan ini kepada kedai-kedai lain pada pukul 4 pagi?” katanya dalam satu klip video ketika beliau ditemubual oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut beliau, ahli keluarga yang mengendalikan restoran itu tidak akan berganjak daripada lokasi di sebuah lorong di Georgetown itu kerana di situlah sejarah berkaitan Line Clear bermula.
“Kami, darah tok kami letak di sini.. kami takkan keluar, kami akan mati di sini, sebab ini tok kami punya kedai, kami takkan keluar, kami akan lawan habis-habisan kerana Allah.
“Tuhan akan bantu kami, Allah akan bantu kami, Allah akan bantu kami,” katanya dengan nada sebak.
Mynewshub pada Isnin melaporkan seorang daripada pemilik Line Clear, Hashim Abdul Hamid terkejut apabila didatangi pihak MPPP yang mengangkut peralatan-peralatan restoran ke dalam dua buah lori.
Seorang lagi pemilik Line Clear, Abdul Hamid Seeni Pakir, 65, berkata memang restoran mereka tidak memiliki lesen tetapi mereka pernah memohon sekurang-kurangnya lima kali iaitu pada tahun 2006, 2009,2010,2011 dan 2012. -MYNEWSHUB.CC