KUALA LUMPUR – Persatuan Takaful Malaysia (PTM) menjangka tuntutan insurans berjumlah RM10 juta akan dikemuka kira-kira 5,000 pemegang polisi dari kawasan yang dilanda banjir di Pantai Timur Semenanjung.
“Sehingga pertengahan Januari tahun ini, pengendali Takaful telah membayar tuntutan berjumlah RM2 juta yang dikemuka kira-kira 1,000 pemegang polisi,” kata
Pengerusi PTM, Ahmad Rizlan Azman pada sidang media mengenai inisiatif PTM untuk mangsa banjir di Pantai Timur di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun jumlah tuntutan untuk tahun lepas dijangka naik sedikit, ia tidak memberi kesan besar kepada pertumbuhan industri insurans Takaful kerana ia akan berkembang di antara lima dan enam peratus setahun.
“Kami akan terus membantu pemegang polisi dengan mempercepatkan proses dan penyelesaian tuntutan dan menawarkan pilihan ansuran untuk langganan mereka.
“Sesetengah ahli kami bertindak proaktif dengan menghantar penilai kerugian ke kawasan terjejas sebelum tuntutan dibuat,” tambahnya.
Di majlis itu, PTM menyampaikan bantuan wang tunai RM10,000 kepada Mercy Malaysia bagi membantu mangsa banjir. – BERNAMA