KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) akan menyumbang bantuan kemanusiaan bernilai RM25,000 kepada mangsa banjir di Kelantan, Sabtu ini.
Presiden MERHROM Zafar Ahmead Mohd Abdul Ghani berkata bantuan itu termasuk beras, minyak masak, air minuman, mihun, kelengkapan tandas, pakaian dan lampin bayi sumbangan daripada masyarakat Rohingya di sekitar Kampung Baru Cheras, Seri Gombak, Hulu Langat dan Kampung Pandan.
Sumbangan kali pertama bernilai RM114,000 telah dihantar pada 4 Jan lepas, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zafar yang telah menetap di Malaysia selama 24 tahun berkata MERHROM kini mempunyai 1,500 orang ahli di seluruh negara. – BERNAMA