SEREMBAN – Mayat rakyat Malaysia, mendiang Cheong Kin Chin, 55, yang maut dalam insiden bot tunda karam di Terusan Fubei, Sungai Yangtze dekat Jiangjiang, Wilayah Jiangsu di China, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 4 petang semalam.
Abang ipar mangsa, Yong Peng Seng, 61, berkata mayat mendiang kemudiannya dibawa ke pusat pengurusan mayat di Temiang di sini kira-kira pukul 7 malam dan akan dibakar esok.
Beliau berkata mendiang yang masih bujang bekerja sebagai penyelia teknikal dengan sebuah syarikat dari Singapura, sudah tinggal di China lebih lima tahun.
“Walaupun tinggal berjauhan, mendiang sering berhubung dengan keluarganya dan kali terakhir mereka bertemu adalah semasa sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas kerana mendiang akan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Baru Rasah.
“Berita kematian mendiang yang dimaklumkan pihak syarikat tempat dia bekerja sangat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Yong berkata mendiang Cheong merupakan anak bongsu daripada empat beradik selain ibu bapanya sudah meninggal dunia.
Dalam kejadian 15 Januari lepas, daripada 25 mangsa, hanya tiga terselamat sementara yang lain disahkan terbunuh termasuk empat warga Singapura serta masing-masing satu dari Malaysia, India, Indonesia dan Jepun. – BERNAMA