RASANYA bukan sekali dua kes melibatkan kilang menghasilkan makanan yang dilabelkan sebagai kotor dan menjijikkan tersebar di Internet.
Namun seakan tidak gentar dengan hukuman pihak berkuasa, segelintir pengilang dengan selamba tetap menguruskan pembuatan makanan dengan meminggirkan aspek kebersihan.
Terbaharu, sebuah kilang bebola ikan di Jalan Paya Terubong, George Town telah diarah tutup dari melakukan operasi ekoran terlalu kotor.
Memetik laporan Harian Metro, Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mendapati bebola yang siap dibungkus diletakkan di atas lantai sahaja manakala pekerja yang menggaul isi ikan tidak memakai sarung tangan.
“Terdapat juga najis tikus bertaburan di dalam stor penyimpanan barang selain lalat didapati menghurung kek ikan yang sedang dikeringkan,” katanya.
Keadaan ini menyebabkan pihaknya mengarah premis itu ditutup selama 14 hari dan pemilik perlu melakukan kerja pembersihan.
Jelasnya, pihak MPPP turut mengeluarkan enam saman bernilai RM750 terhadap pengusaha bebola ikan tersebut kerana melakukan pelbagai jenis kesalahan.
Antaranya, menyalur minyak masak terpakai ke dalam parit dan pengurusan sisa tidak sempurna.
Hm, agak-agak dah berapa ramai agaknya pengguna yang dapat sakit perut sebab termakan bebola dan kek ikan kotor tapi dendanya cuma RM750? - MYNEWSHUB.CC
VIDEO KILANG BIHUN DIARAH TUTUP