KOTA KINABALU Para Menteri Luar ASEAN hari ini mengutuk keganasan dan kekejaman kumpulan ekstreimis dikenali sebagai IS, terutama tindakannya baru-baru ini yang dikatakan memenggal leher seorang rakyat Jepun.
Bercakap bagi pihak rakan sejawatannya pada akhir pemukiman mereka di sini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata para menteri itu juga mengulangi komitmen mereka untuk memerangi keganasan kumpulan pelampau, termasuk melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
GMM adalah idea yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA) 2010 dan ia merupakan pendekatan baharu dalam hubungan antarabangsa dan dasar luar, dengan matlamat utamanya untuk mengamalkan perspektif dan rangka kerja berasaskan kesederhanaan bagi mewujudkan keamanan dan keharmonian dunia.
Anifah berkata, seperti yang dicadangkan Najib ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 pada November 2014, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN mengenai Radikalisme dan Fahaman Melampau.
“Mesyuarat ini dijadual diadakan secara berturutan dengan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan pada awal Oktober 2015,†katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN. – BERNAMA