SEKARANG ini penjualan minuman tenaga sering mendapat perhatian di pasaran kerana keberkesanannya memberi tenaga tambahan di kala badan keletihan dan lesu menjalani aktiviti seharian.
Namun awas, baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran, penjualan minuman tenaga mengandungi gula dan kafein sewajarnya dihentikan kerana produk tersebut boleh mengundang bahaya kepada kesihatan kanak-kanak, golongan remaja dan belia.
Menerusi kajian dijalankan badan tersebut, antara penyakit yang berisiko dihadapi akibat pengambilan kafein secara berlebihan adalah peningkatan kadar denyutan jantung, sawan dan kematian selain meningkatkan risiko menghidap diabetes tahap dua.
Selain itu, kajian mendapati pengambilan minuman tenaga yang berlebihan boleh mendatangkan masalah kemurungan dan ketagihan kepada penggemarnya.
“Kesan menyeluruh ke atas peningkatan jumlah pengambilan minuman tenaga masih belum dikumpulkan, tetapi pemasaran secara agresif penjualan produk berkenaan dalam kalangan golongan muda tanpa pemantauan dan larangan boleh mengundang masalah kepada kesihatan umum pada masa akan datang,” kata Dr. Joao Breda yang mengetuai pasukan penyelidikan tersebut.
Justeru, pihaknya menggesa pihak bertanggungjawab mengenakan larangan penjualan minuman bertenaga kepada kanak-kanak dan golongan berusia bawah 18 tahun bagi mencegah sebarang komplikasi di kemudian hari.
Sehubungan itu, beberapa negara Eropah termasuk Denmark dan Turki telah mengharamkan penjualan produk minuman tenaga, manakala negara seperti Sweden menetapkan hanya pembeli berusia 15 tahun ke atas boleh menggunakan produk tersebut. – MYNEWSHUB.CC