Ingatkah lagi anda dengan artikel ‘Paha Pemenang Miss BumBum Brazil Berlubang Akibat Suntikan’ yang kami kongsikan minggu lalu?
Menerusi temubual eksklusifnya bersama Mail Online, Andressa Urach, 27, mendedahkan yang dia begitu menyesal dengan perbuatannya mengambil suntikan kosmetik pada bahagian pahanya sehingga koma dan menyebabkan nyawanya hampir melayang.
Model itu turut menyifatkan kesakitan yang dialaminya sebagai ‘hukuman daripada Tuhan’ kerana terlalu kerap melakukan pembedahan kosmetik bagi mengubah tubuh asalnya.
“Saya sanggup menyerahkan apa sahaja untuk kembali ke masa lalu dan mengubah apa yang telah saya lakukan. Tiada siapa yang tahu kesakitan yang saya rasa. Hingga kini saya masih berdepan dengan mimpi ngeri.
“Semua ini adalah hukuman atas perbuatan saya yang sia-sia.
“Saya malu dengan lubang pada kaki saya dan parutnya akan kekal di situ hingga ke akhir hayat saya,” ujar Andressa.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup dan dapat menceritakan kepada wanita lain di luar sana mengenai bahaya pengambilan suntikan kosmetik secara berlebihan.
Kisah Andressa adalah satu daripda ribuan lagi kisah pembedahan dan suntikan kosmetik yang tidak berjaya.
Tidak dinafikan ramai wanita yang ‘ketagih’ untuk melakukan perubahan demi perubahan pada tubuh mereka lantaran kejayaan pembedahan kosmetik sebelum ini.
Harapnya, apa yang berlaku pada Andressa ini dapat dijadikan pengajaran bersama khususnya bagi wanita atau lelaki yang terlalu obses dengan ‘kehebatan’ dunia kosmetik ini. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=FFd0vDBi2-0
Oleh: ELZA