KLANG – Persatuan Peniaga Tekstil dan Barang Am India Malaysia (MITA) menggesa kerajaan menimbang untuk mengecualikan peniaga kecil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang akan dilaksanakan mulai 1 April.
Setiausaha persatuan itu, Maheswary Ramasamy, berkata GST tidak wajar dikenakan ke atas peniaga yang mengusahakan peniagaan runcit walaupun ada masanya mereka memenuhi had RM500,000.
“MITA berpendapat GST perlu dikenakan ke atas pemborong dan peruncit yang menjalankan perniagaan dalam kuantiti yang besar.
“Kutipan CBP daripada penggiat industri besar sudah memadai dan bukannya membebankan peniaga kecil dan pemilik kedai runcit yang akan berdepan masalah mematuhi prosedur perakaunan baharu GST,” katanya kepada Bernama.
Maheswary berkata lebih banyak bengkel GST perlu dijalankan untuk membolehkan orang ramai memahami regim percukaian baharu itu.
“Bengkel ini akan membantu peniaga kecil memahami GST dengan lebih baik memandangkan mereka akan dibimbing secara amali mengenai GST.
“Kami lebih sukakan bengkel berbanding seminar memandangkan penjelasan yang diberikan semasa seminar mengenai prosedur perakaunan tidak jelas dan kebanyakan peniaga masih tidak memahami penggunaan perisian perakaunan.
“Oleh itu, kami mencadangkan kerajaan memberi tempoh masa dua tahun untuk peniaga kecil membiasakan diri dengan GST daripada mengenakan penalti ke atas mereka yang tidak mampu dibayar.
Maheswary juga berkata kadar GST juga sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan bukan enam peratus serentak.
Kerajaan mewajibkan perniagaan dengan perolehan melebihi RM500,000 mendaftar untuk CBP manakala pendapatan kurang daripada had itu boleh mendaftar secara sukarela. – BERNAMA