SALAH seorang juri Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), Farah Quinn mengakui dia lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris ketika memberi komentar mengenai persembahan peserta MLM2014.
Menurutnya, ini kerana dia kurang fasih berbahasa Melayu namun hasil tunjuk ajar daripada tiga juri lain iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Fazura dan Taufik Batisah sedikit sebanyak dia dapat memperkayakan serta mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
Kalau anda perhatikan pada setiap minggu persembahan MLM2014, Fara kadang kala kelihatan blur dan terpinga-pinga dengan lawak yang dipertontonkan oleh peserta.
Menjelaskan perkara itu, Fara berkata, “semuanya mengenai filem atau perkara terkini di sini agak sukar untuk saya fahami kerana masa berada di Malaysia agak singkat”.
“Banyak perkara yang saya tidak tahu ada kalanya membuatkan saya terpinga-pinga. Namun saya bernasib baik ada peserta yang memahami kekurangan saya dan melakukan sketsa yang mudah untuk difahami,” katanya memetik Sinar Harian.
Walaupun begitu, Fara juga dilihat di antara juri MLM yang paling ‘neutral’ sekali dalam memberikan sebarang komentar mahupun kritikan dalam penjuriannya kerana dia sama sekali tidak pernah bias dalam perkara itu.
Kalau peserta tu tak best, memang jujur dia cakap tak best dan begitu juga sebaliknya. – MYNEWSHUB.CC