LONDON – Setelah hampir 45 tahun mencipta populariti tersendiri sehingga menjadi suatu jenama unik popular, akhbar terkenal Britain, The Sun akhirnya mengumumkan Page 3 yang memaparkan gambar wanita bogel tidak lagi disiarkan.
Menurut laporan harian itu pada Selasa, keluaran Jumaat minggu lalu adalah yang terakhir untuk pembaca, khasnya golongan lelaki!; dapat ‘menikmati’ foto-foto berahi model wanita cantik bertelanjang penuh tanpa coli menutup payu dara mereka.
Keputusan cukup memeranjatkan itu susulan satu kempen petisyen oleh para pembaca The Sun; pastinya golongan wanita!; berjaya mengumpul lebih 217,000 tanda tangan bagi mendesak The Sun menghentikan Page 3 penuh kontroversi itu.
Jurucakap kempen yang dikenali sebagai ‘No More Page 3’ itu menyambut baik tindakan sensitif akhbar tersebut selepas mereka ‘letih’ melancarkan bantahan ke atas halaman erotik itu sejak ia diperkenalkan pada 17 November 1970 lalu.
“Ini adalah berita paling bersejarah dan hari kemenangan besar bagi kuasa rakyat Britain,†kata jurucakap kempen tersebut yang enggan didedahkan identitinya ketika mengulas langkah berani pihak The Sun memansuhkan Page 3 berkenaan.
Page 3 diwujudkan editor Larry Lamb sempena ulang tahun pertama format saiz The Sun diubah kepada tabloid daripada broadsheet oleh mogul media, Rupert Murdoch yang juga menguasai akhbar The Times menerusi firma News Corp.
Asalnya, Murdoch memberi idea Page 3 untuk memaparkan wanita jelita yang berpakaian anggun dengan Ulla Lindstrom sebagai penghias pertama namun, Lamb langsung ubah kepada bogel setahun kemudian dengan model sulung, Stephanie Rahn.
Ini menyebabkan edaran akhbar itu amat laris dalam kalangan golongan lelaki; termasuk yang sudah berkahwin, sehingga The Sun pernah dijual hampir 3 juta naskhah sehari meskipun diharamkan di semua perpustakaan awam seluruh Britain.
Konsep halaman itu pernah ditiru akhbar popular Daily Star dan Daily Mirror sebelum dimansuhkan akibat bantahan daripada pembacanya sendiri bahkan juga ditiru puluhan akhbar lain di lebih 20 buah negara termasuk Afrika Selatan, India, Peru dan Turki.
Biarpun dikecam aktivis wanita sebagai sengaja mengeksploitasi seks, ramai remaja perempuan bersaing hebat menjadi model halaman sensasi itu selain menyertai pertandingan tahunan Page 3 Idol sejak 2002 sebelum dihentikan pada 2012. – Agensi