KUALA LUMPUR – Peniaga yang mengadakan pakatan sulit bagi melaksanakan perjanjian penetapan harga ke atas sesuatu barangan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
Ketua Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Dr. Mohd. Khalid Abdul Samad berkata, tindakan itu boleh juga dikenakan mana-mana persatuan, pembekal atau pengeluar yang berbuat demikian.
“Jika kenaikan harga hasil dari pakatan sulit melalui perjanjian-perjanjian penetapan harga oleh mana-mana persatuan atau mana-mana kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid dalam pada itu memaklumkan, MyCC mengambil serius dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai kemungkinan terdapat pakatan oleh peniaga untuk menetapkan harga tinggi.
Sehubungan itu, katanya, MyCC akan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) pengguna tersebut untuk memperolehi petunjuk mengenai kes-kes seperti itu di peringkat akar umbi.
Kata beliau, melalui Akta Persaingan 2010, MyCC boleh mengenakan penalti kewangan tidak melebihi 10 peratus pendapatan sedunia perusahaan tersebut sepanjang tempoh pelanggaran akta berkenaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kelakuan oleh persatuan dan perusahaan perniagaan yang sedang atau telah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penetapan harga perlu menghubungi MyCC di +603-2273 2277 atau emel kepada complaints@mycc.gov.my,” katanya.