KUALA LUMPUR – Penembak wanita elit kebangsaan, Nur Suryani Mohamed Taibi dinobatkan sebagai Olahragawati Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2014 pada majlis Anugerah Sukan ATM yang berlangsung di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan di sini, malam tadi.
Kemenangan tersebut adalah yang kelima buat altet penembak yang bertugas sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selepas memenangi anugerah sama pada 2009, 2010, 2011 dan 2012.
Atlet bina badan negara, Buda a/k Anchah pula dinobat sebagai Olahragawan ATM buat kali ketiga selepas memenanginya pada 2011 dan 2013.
Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM5,000, piala pusingan, blazer khas ATM yang disampaikan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Pada majlis berkenaan, Lt Kol Md Salleh Napie dari sukan tinju dinobatkan sebagai Tokoh Sukan ATM 2014 manakala Pegawai Waran 1 Kamarudin Misman dari sukan hoki dipilih sebagai Tokoh Jurulatih Sukan ATM 2014.
Kedua-dua mereka menerima wang tunai berjumlah RM1,000, piala pusingan dan piala iringan yang disampaikan Yang Dipertua Majlis Sukan ATM merangkap Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Dalam pada itu, Nur Suryani yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, berbangga dipilih buat kali kelima dan meletakkan sasaran untuk memberikan persembahan terbaik pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.
“Alhamdulillah, saya cuba untuk membanggakan majikan saya iaitu TLDM dan kemenangan ini adalah untuk rakan sejawatan yang lain,” kata atlet kelahiran Perak itu.
Berkongsi pandangan sama, Buda, 43, meletakkan sasaran untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam beberapa kejohanan bina badan di peringkat tempatan dan antarabangsa, tahun ini.
“Pertama kali, saya bersyukur atas kemenangan ini dan berterima kasih kepada Majlis Sukan ATM kerana memilih saya.
“Tahun ini, merupakan tahun terakhir bersama TUDM kerana saya akan bersara tahun depan namun saya akan terus bergiat aktif dalam sukan bina badan selagi terdaya,” kata atlet kelahiran Sarawak itu yang sudah berkhidmat hampir 21 tahun bersama TUDM. – BERNAMA