TAHNIAH kami ucapkan kepada penyanyi, Nurul Wahab atas kelahiran bayi lelaki kedua hasil perkahwinannya dengan Eric Depp di Pusat Perubatan Prince Court, semalam (Khamis).
Menerusi blognya, Nurul memberitahu, bayi yang dipanggil ‘Baby R’ itu dijangka lahir pada awal Februari, namun pendarahan yang kerap dialaminya akibat kedudukan uri bawah rahim menyebabkan doktor mengambil keputusan supaya dia bersalin lebih awal iaitu pada usia kandungan 34 minggu.
“Aku memang tak fokus ke lain bila doktor menyatakan bahawa aku perlu menjalani pembedahan. Tak fikir tarikh dan apa-apa langsung. Dalam kepala ni bermacam-macam persoalan berlegar. Nampak je kuat, tapi penakut gila! Hahaha…
“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Bayi lelaki yang aku gelarkan Baby R ini, dilahirkan seberat 2.45kg. Buat masa ini, Baby R di bawah pengawasan doktor untuk beberapa hari bagi melihat perkembangannya.
“Bagi aku pula, aku perlu berehat buat beberapa minggu. Kali pertama menjalani pembedahan, Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan aku! Takut ya amat perut nak kena belah!” tulis Nurul.
Menariknya, ibu bapa mertua penyanyi hitam manis ini masih tidak mengetahui cucu kedua mereka telah dilahirkan ketika entri tersebut ditulis, meskipun mereka sedang dalam perjalanan ke Malaysia.
Oh, pasti terkejut besar orang tua tu dibuatnya!
Apapun, kami pasti peminat Nurul sudah tidak sabar-sabar menanti untuk melihat wajah comel Baby R, betul tak? – MYNEWSHUB.CC
Oleh: ELZA