KUALA LUMPUR – PAS membantah Keputusan Mahkamah Tentera yang mendapati Pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad bersalah kerana membuat kenyataan kepada media berhubung penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya tanpa kebenaran pihak atasan.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa, keputusan Mahkamah Tentera itu tidak selari dengan usaha transformasi ke atas pegawai-pegawai kerajaan supaya selari dengan prinsip kebebasan bersuara dan keadilan sejagat.
“PAS menyatakan sokongan penuh terhadap Zaidi dan menggesa supaya pihak berkuasa tentera menyemak kembali keputusan Mahkamah Tentera.
“Keputusan itu tidak selaras dengan hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan Zaidi didapati bersalah oleh Mahkamah Tentera terhadap dua tuduhan berkaitan isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan menyiarkan maklumat mengenai pertukaran kerjanya, pada tahun 2013. – mynewshub.cc