KUALA LUMPUR – PAS memohon satu sidang khas Parlimen diadakan berhubung isu ekonomi negara yang didakwa berada pada tahap kritikal.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sidang khas itu juga perlu diadakan memandangkan kerajaan mungkin melakukan pengstrukturan semula Bajet 2015.
“Sebarang perubahan terhadap Bajet 2015 yang sudah dibentang dan diluluskan pada tahun lepas hendaklah dibuat melalui proses tatacara yang betul khususnya dibawakan kembali ke institusi Parlimen,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahfuz mendakwa, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan kritikal maka sesuatu perlu dilakukan sebelum terlewat.
“Tambahan pula kita baru sahaja dilanda musibah besar banjir yang mengakibatkan kerugian berbillion ringgit dan pastinya kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan luar jangka,” dakwanya.