KUALA LUMPUR – PAS Pulau Pinang bertindak menangguhkan program Pemimpin Santuni Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada hari ini selepas diminta supaya berbuat demikian oleh PAS Pusat.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Roshidi Husain berkata, ia ditangguhkan kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak dapat menghadiri program berkenaan.
“Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk menangguhkan program yang dicadangkan.
“Ini disebabkan Presiden dan beberapa Naib Presiden PAS tidak dapat hadir diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Roshidi yang juga Ketua Penerangan dan Hubungan Media PSA Pulau Pinang nemohon maaf kepada semua pihak terlibat.
Penangguhan program itu bagaimanapun menimbulkan persoalan ramai pihak sama ada itu berikutan ketegangan yang sedang berlaku di antara pucuk pimpinan PAS dan kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir DAP. -MYNEWSHUB.CC