TAWAU – Semua pemilik lesen senjata api berumur 60 tahun ke atas di daerah ini diwajibkan menghadiri ujian bagi memastikan tahap kecergasan mereka.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata pemilik lesen yang gagal dalam ujian itu tidak lagi dibenarkan untuk memperbaharui lesen senjata api mereka.
“Ujian itu bukan untuk mendera mereka, sebaliknya kita mahu memastikan sama ada pemilik senjata masih berada dalam keadaan yang cukup cergas untuk menggunakan senjata api,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan pemilik senjata api di daerah ini hari ini.
Beliau turut meminta semua pemilik lesen agar menjaga dan menyimpan senjata api mereka sebaik mungkin bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Pemilik senjata api yang ke luar negara juga perlu menyimpan senjata api mereka di balai polis berhampiran,” katanya. – BERNAMA