“UMUR adalah pinjaman daripada Allah SWT, satu masa nanti ia akan ditanya olehNya. Lakukanlah yang terbaik untuk masa depan kita di akhirat dengan bekalan yang ada, terima kasih kepada semua pihak yangg sentiasa mendoakan saya,” demikian antara bait kata-kata beliau yang sedang terlantar sakit dan merisaukan banyak hati.
Beliau adalah ulama, pemimpin, pentadbir, pemikir halus, penulis dan pendoa di tengah malam tatkala bumi Malaysia ditimpa pelbagai musibah.
Sebagai ulama dan tokoh politik tanahair, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat nama yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad lalu.
Dalam pemimpin di Malaysia, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-deen yang perlu ditegakkan di negara ini.
Kemenangan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada pilihanraya umum tahun 1990 yang menyaksikan pelantikan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, merupakan antara peristiwa penting dalam sejarah politik tanahair.
Dalam sejarah pilihanraya umum di negara kita, belum pernah berlaku parti-parti pembangkang bergabung dan dapat mengalahkan parti pemerintah (Barisan Nasional) lalu menubuhkan sebuah kerajaan negeri, seperti dilakukan pada tahun tersebut.
Sedikit sejarah mengenai Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, beliau merupakan anak kedua daripada perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama.
Dilahirkan pada tahun 1931, anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan arif dalam ilmu-ilmu agama.
Nik Mat Alim terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat, di mana di situlah titik mula anaknya mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.
Sejak kecil, Nik Aziz mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Kemudian sewaktu usia 9 tahun, Nik Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu.
Selepas setahun menuntut ilmu di sana, tercetus peperangan dengan Jepun hingga pengajian terpaksa dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Nik Aziz berulang alik ke Kampung Sirih untuk berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang tentang ilmu Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah.
Setelah perang tamat, Nik Aziz menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia masih muda ketika itu, Nik Aziz berjaya menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952, seterusnya ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India bagi mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.
Ketika di India, Nik Aziz telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani hingga mendapat ijazah. Maulana Mohamad adalah pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah dipenjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957, Nik Aziz menyambung pengajian ke Pakistan dalam bidang Tafsir dan setahun kemudiannya di Kuliyatul Lughah, Al-Azhar, Mesir hingga memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab, diikuti ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun.
Nik Aziz turut mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar sebelum pulang ke tanah air pada Februari 1962.
MASUK POLITIK
Pada 1962 Nik Aziz membuka sekolah di tanah wakaf yang diberikan oleh ibu saudaranya, Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka.
Selain mengajar di sini pada sebelah petang, di sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam pula, beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 Nik Aziz meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau telah diangkat menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Nik Aziz dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat dari 1971 hingga 1995, seterusnya dilantik sebagai Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 beliau dilantik pula sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan, kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama di negeri bergelar Serambi Mekah ini.
Nik Aziz telah menulis beberapa buah buku antaranya Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian dan beberapa buah buku lain yang telah diterbitkan, selain siri-siri kuliah dan ceramah.
PETAH BERCAKAP
Menggunakan pengalaman yang ada, Nik Aziz telah membimbing pelajar Ma’had Muhamadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘halakat pengajian’ yang sekarang disebut usrah.
Selepas itu juga, wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Dikenali sebagai ulama yang petah berpidato, ini merupakan hasil asuhan bapanya pada setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.
Ucapan beliau dianggap terang beserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah juga punca mengapa Nik Aziz mendapat tempat di hati penyokongnya.
Ilmu yang disampaikan beliau dianggap khazanah dan kaset ucapannya tersebar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat, malah menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.
KEISTIMEWAAN
Satu perkara yang luar biasa pada Nik Aziz, beliau mampu mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung (hinggalah jatuh sakit).
Walaupun ketika menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau akan mengajar manakala pada setiap pagi Jumaat, beliau mengadakan kuliah.
Bagi beliau mengajar adalah kerja paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Abia’.
Nik Aziz mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu pada tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun, mereka dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Anak-anak Nik Aziz adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau bersama keluarga amat sederhana, tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada cuma sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi.
AHLI PARLIMEN YANG KOMITED
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 seterusnya menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Nik Aziz menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Selaku Menteri Besar Kelantan pula, Nik Aziz telah berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan iaitu Serambi Mekah.
Sudah pasti, segala jasa Nik Aziz akan sentiasa tersemat di hati rakyat Kelantan yang boleh dikatakan hampir keseluruhannya sedang mendoakan kesihatan lelaki yang digelar mereka ‘Tok Guru’ ini.
Lebih hebat, Tok Guru turut didoakan oleh ramai ‘lawannya’ dalam gelanggang politik yang turut terkesan dengan sifat tawaduk dan ketinggian peribadi beliau. -MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzqahmd