KUALA LUMPUR –  Pemuda UMNO berazam menjadikan tahun 2015 sebagai tahun penambahan keahlian baru secara besar-besaran dalam usaha menjadikan institusi pergerakan itu sebagai plaftform kepada golongan muda untuk berada di dalam parti.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata serentak itu, Pemuda UMNO akan melipatgandakan usaha termasuklah menerusi peringkat cawangan, bahagian dan juga Biro selain pelbagai pendekatan lain bagi memastikan misi itu tercapai.
“Jumlah terkini Pemuda UMNO seramai 633,244.. kita letakkan sasaran 700,000 ahli pergerakan Pemuda untuk tahun ini. Maksudnya kita perlu tambah lebih daripada 70,000.
“Kita akan gerakkan jentera dan kemudahan pendaftaran secara online supaya kita dapat lihat peningkatan ahli ini. Dan ahli yang mencapai umur 21 tahun kita akan pastikan mereka berdaftar sebagai pengundi,” kata Khairy.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO, di sini, pada Isnin.
Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah walaupun KPI adalah dari segi kuantiti, namun pada masa sama pergerakan itu juga mahu melihat kualiti kepimpinan meningkat.
“Daripada kita hanya menarik minat keahlian daripada golongan biasa, kita akan beri penekanan kepada profesional muda, mahasiswa, kakitangan kerajaan dan sebagainya supaya kita dapat keahlian yang bukan hanya ramai tetapi kualiti yang pelbagai… yang datang melalui cawangan, melalui bahagian dan juga mereka yang kita rasa ada bakat dan potensi tinggi untuk menjadi pemimpin dalam Pemuda UMNO.
“Ini adalah cabaran kepada Pemuda. Kita kena sentiasa tambah ahli kerana umur sentiasa berubah, apabila sampai peringkat umur 40  mereka akan keluar daripada Pemuda.
“Saban tahun kita ada pertambahan keahlian cuma tahun ini kita beri penekanan. Kita berharap dengan adanya kempen seperti ini kita dapat lihat pertamanya orang muda masih ingin bersama dengan UMNO dan kedua, mencari bakat-bakat berkualiti yang boleh kita ketengahkan sebagai pemimpin masa depan parti,†ujarnya. -MediaUMNO