JOHOR BAHRU – Seorang penagih dadah meninggal dunia ketika berada dalam tahanan Lokap Ayer Molek di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, lelaki berumur 31 tahun itu meninggal dunia pada kira-kira pukul 10.20 malam dan kematiannya disahkan oleh paramedik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Lelaki yang berasal dari Kulaijaya itu ditahan reman sejak 4 Januari lepas sehingga 18 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
“Sehari sebelum itu, lelaki terbabit telah dihantar untuk rawatan di HSA setelah mengadu sakit perut dan diberi rawatan pesakit luar sebelum dimasukkan semula ke dalam lokap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasnan berkata semalam, lelaki terbabit mengadu sakit semula dan dia kemudian meninggal dunia semasa dalam proses untuk dihantar ke hospital.
Beliau berkata, koroner dan doktor patologi dipanggil untuk memeriksa mayat lelaki itu di tempat kejadian dan mengesahkan tiada kecederaan luaran pada mayatnya.
“Lelaki berkenaan disahkan seorang penagih dadah tegar dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Menurut Hasnan, bedah siasat ke atas mayat lelaki itu dilakukan di HSA hari ini dan kertas siasatan di bawah kematian mengejut (SDR) kini dibuka untuk siasatan lanjut. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=Fyd2psq0Igo