KUALA LUMPUR – Meskipun aksi Piala Sumbangsih 2015 hanya akan berlangsung malam ini tetapi ramai penyokong bola sepak Johor telah mula beratur di perkarangan Stadium Larkin sejak pukul 8.30 malam tadi.
Laman Facebook Johor Southern Tigers memberitahu, penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berbuat demikian kerana tidak mahu terlepas membeli tiket perlawanan.
“Para penyokong sudah mula beratur di kawasan yang dikhaskan di Stadium Larkin bagi membeli tiket untuk perlawanan Piala Sumbangsih meskipun kaunter hanya dibuka pukuk 9 pagi (hari ini).
“Mereka sudah mula beratur sejak pukul 8.30 malam (semalam) demi memastikan menjadi pembeli tiket terawal untuk perlawanan JDT menentang Pahang esok,” kata kenyataan itu.
Aksi malam ini dijangka cukup menarik kerana kedua-dua pasukan merupakan antara pasukan gergasi pada musim lalu dan menjadi perhatian ramai pihak dalam Liga Malaysia.
Laman Facebook Johor Southern Tigers turut melaporkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merasmikan bas khas untuk kegunaan penyokong setia bola sepak Johor, Markaz Boys Of Straits (BOS) semalam. -MYNEWSHUB.CC