BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki termasuk seorang rakyat Myanmar yang disyaki anggota geng curi lori ditahan dalam serbuan polis di sebuah stor di Bukit Tengah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata keempat-empat lelaki berusia 34 hingga 47 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 6 petang.
“Semasa serbuan empat lelaki terbabit sedang memotong kepala lori jenis Nissan. Lori itu dilapor hilang di kawasan Bukit Tambun di sini, beberapa hari lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rusli berkata usaha mengesan beberapa lagi anggota kumpulan yang dipercayai aktif sejak tahun lepas itu serta pembeli lori curi giat dijalankan.
Keempat-emapt lelaki terbabit kini direman bagi membantu siasatan, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket berkenaan agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA