ALOR SETAR – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah mengesan kenaikan harga dua jenis sayur – kacang bendi dan buncis – menerusi Ops Catut di Pasar Besar Alor Setar.
Hasil tinjauan mendapati harga kacang bendi dijual di antara RM9 hingga RM10 sekilogram pada minggu ini manakala harga kacang buncis berharga antara RM10 hingga RM13 sekilogram.
Peniaga, M. Saruja, 67, berkata dia terpaksa menjual pada harga tersebut disebabkan harga yang diperoleh daripada pemborong sekitar RM8-9 sekilogram bagi kacang bendi dan RM10-11 bagi kacang buncis.
Katanya kekurangan bekalan sayur tersebut dan kos penghantaran sayur dari Cameron Highlands menyebabkan harga meningkat sejak beberapa minggu lepas berbanding sebelum ini sekitar RM5 hingga RM7 bagi kedua-dua sayuran itu.
“Harga bendi dan buncis dari Thailand pun sama harga dan kurang sikit kualiti. Saya ambil sayur dari Cameron Highland sebab dia lagi cantik dan segar tapi mahal sedikit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Peniaga, Hafizah Zakaria, 22, berkata kenaikan harga tersebut bersifat sementara disebabkan kekurangan sayur tersebut dan dijangka harga akan turun semula dalam tempoh terdekat.
“Kenaikan harga kacang bendi dan buncis ini bukan sebab banjir tapi sebab bekalan kurang disebabkan cuaca. Perkara ini berlaku setiap tahun dan pelanggan pun sudah sedia maklum mengenai perkara ini,” katanya.
Seorang pengguna Mohd Izwan Abd Rahman, 40, berkata terpaksa menerima kenaikan harga dua sayur tersebut walaupun harga yang ditetapkan oleh peniaga agak mahal berbanding sebelum ini sekitar RM4 hingga RM7 sekilogram.
Sementara itu, Ketua Anti Pencatutan PPDNKK negeri Ariffin Muslim berkata hasil temu bual pihaknya dengan beberapa peniaga mendapati kenaikan harga sayuran tersebut disebabkan peningkatan kos dari Cameron Highlands.
Katanya setakat ini tiada kenaikan harga sayur-sayuran secara melampau dikesan dan terdapat beberapa barangan basah mengalami penurunan harga seperti ayam dari RM7 sekilogram pada minggu lepas turun kepada RM6.50 pada hari ini. – BERNAMA