JOHOR BAHARU – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) meluluskan sebanyak 72 projek pembangunan kediaman di seluruh negara tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata semua projek itu akan menawarkan sejumlah 50,000 unit kediaman.
“Untuk keseluruhan projek, saya difahamkan lebih 11,000 unit (rumah) sudah dimulakan pembinaannya dalam pelbagai peringkat.
“Baki 32,000 hingga 40,000 unit pula masih dalam proses membersih tanah serta tapak,” katanya selepas melawat tapak projek PR1MA di Bandar Layangkasa dan Tebrau, di sini hari ini.
Abdul Mutalib berkata kebanyakan rumah PR1MA itu dibangunkan di kawasan bandar utama dan sub-bandar, rentetan daripada keperluan orang ramai yang ingin turun ke kawasan itu untuk bekerja.
“Selain itu, kebanyakan rumah PR1MA juga untuk golongan yang berpendapatan sederhana antara RM2,500 – RM10,000 sebulan,” jelasnya.
Bagi negeri Johor tahun ini, perbadanan itu meluluskan sembilan projek perumahan PR1MA termasuk di Bandar Layangkasa, Tebrau, Taman Rinting (Masai), Taman Perling (Mukim Pulai), dan Skudai yang akan menawarkan sejumlah 13,951 unit rumah.
“Ketika ini, dua projek yang sedang melalui pembinaan ialah di Bandar Layangkasa Fasa 1 dan Tebrau. Ia adalah projek pembinaan sebanyak 475 unit rumah teres dua tingkat serta 1,284 unit apartmen.
“Kedua-duanya mencapai kemajuan projek masing-masing sebanyak 30 peratus serta 10 peratus dan dijangka siap pada Julai tahun ini dan Disember tahun depan,” katanya.
Kedua-dua projek itu turut menerima sejumlah 23,842 permohonan dari penduduk Johor sejak pendaftaran projek itu dibuka pada 15 Januari lalu. – BERNAMA