Sanaa – Kemelut politik Yaman semakin parah apabila Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi meletak jawatan selepas pemberontak Houthi menguasai negara itu.
Tindakannya yang mengejutkan itu nyata tidak dijangka kumpulan Syiah yang mendapat sokongan Iran itu.
Abd-Rabbu yang juga bekas jeneral mendakwa kegagalannya membawa kestabilan kepada Yaman – yang mengalami perpecahan politik, kemiskinan dan serangan dron Amerika Syarikat yang menyasarkan militan Islam – disebabkan tindakan Houthi menawan ibu negara, Sanaa.
Keputusannya meletak jawatan itu mengejutkan negaranya yang semakin melihat kemaraan Houthi.
Kumpulan itu turut menjadikannya seperti tawanan di istananya sendiri sejak beberapa hari lalu.
Parlimen Yaman dijadualkan bersidang esok untuk membincangkan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan Abd-Rabbu.
Mengikut perlembagaan negara itu, Speaker Parlimen Yahya al-Ra’i dari Parti Kongres Rakyat Umum akan memegang jawatan itu sementara sehingga pilihan raya diadakan.
Ada pegawai kanan Houthi menyambut baik peletakan jawatan Abd-Rabbu itu, namun kumpulan itu masih belum mengumumkan pendirian rasmi mereka berhubung isu berkenaan.
Ia turut menggesa pihak tentera supaya tidak mengabaikan tanggungjawabnya menjaga keselamatan selain mengingatkan pejuangnya supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurut saksi, pejuang Houthi turut dilihat mengepung kediaman beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk menteri pertahanan di Sanaa.
Seorang pegawai kanan Yaman turut berkata, pihak Houthi mencadangkan majlis presiden sementara diwujudkan untuk mentadbir negara yang majoriti pengikutnya berfahaman Sunni. Cadangan itu bagaimanapun ditolak beberapa parti.
Keputusan terbaru Abd-Rabbu itu nyata berbeza dengan pendiriannya, Rabu lalu, apabila dilaporkan bersedia menerima tuntutan Houthi untuk pegangan politik lebih besar di negara itu. – Reuters
https://www.youtube.com/watch?v=nZWxVghbxgw