SEREMBAN – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan program Fit Malaysia Negeri Sembilan 2015 di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, Ahad ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohd Izwandy Ismail berkata program berslogan ‘Moh Kito Fit!’ menyasarkan 15,000 peserta bagi tiga acara utama yang diadakan pada hari tersebut.
Katanya setakat ini lebih 13,000 peserta telah berdaftar, sama ada secara dalam dalam talian atau manual bagi program itu yang berobjekif meningkatkan tahap kesihatan menerusi amalan gaya hidup sihat.
“Acara utama yang dianjurkan ialah Rembau Century Ride, FM Ride (10 kilometer dan 30 kilometer) serta FM Run (5 kilometer dan 10 kilometer). Program ini bukan berbentuk pertandingan, jadi setiap peserta akan mendapat pingat dan sijil penyertaan. Acara sampingan ialah zumba, cabaran kecergasan dan senamrobik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya pada program sehari itu, turut dibuka gerai jualan dan pameran berunsurkan kesihatan oleh beberapa buah agensi seperti Jabatan Kesihatan dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dijangka hadir pada program itu, katanya. – BERNAMA