TEMERLOH – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menafikan dakwaan bahawa pembangunan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu sebagai punca banjir di Kelantan seperti yang disebarkan oleh pihak tertentu di media sosial.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata projek yang melibatkan dua empangan itu terletak di daerah hulu Terengganu, iaitu di kawasan hutan simpan Tembat dan di bahagian hilir Tasik Kenyir.
“Projek tersebut melibatkan pembinaan dua empangan merentasi Sungai Terengganu iaitu Empangan Puah dan Empangan Tembat di Sungai Tembat yang mengalir ke Tasik Kenyir,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan banjir dan menyerahkan bantuan kepada anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB) Temerloh di sini, hari ini.
Mahdzir berkata kawasan tadahan untuk projek itu dipisahkan dari negeri Kelantan oleh banjaran gunung, justeru segala aliran air permukaan mengalir ke arah kedua-dua sungai tersebut yang akhirnya akan menjadi Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila projek itu siap kelak.
Katanya air dari Tasik Tembat akan disalurkan melalui terowong lencongan air ke Tasik Puah yang akan digunakan untuk penjanaan elektrik di stesen permukaan Tembat sebanyak 15 megawatt (MW) sebelum memasuki Tasik Puah, manakala air dari Tasik Puah pula akan disalurkan ke stesen bawah tanah Puah untuk penjanaan elektrik 250MW.
Beliau berkata pembinaan Empangan Puah telah siap dan penakungan tasik telah bermula pada 1 Okt tahun lepas manakala Empangan Tembat dalam proses pembinaan dan penakungan Tasik Tembat akan bermula Jun tahun ini dan dijangka siap April 2016.
“Lokasi pembinaan dua empangan itu dipilih untuk mengelakkan pembinaan empangan pelana dan segala pelepasan air adalah melalui Empangan Puah dan Tembat di mana air pelepasan akan mengalir di aliran asal Sungai Terengganu dan Sungai Tembat dan seterusnya ke Tasik Kenyir.
“Adalah mustahil untuk air pelepasan dari dua empangan itu untuk merentasi banjaran gunung dan memasuki Kelantan.
“Tiada pelepasan dari Tasik Puah dan mustahil dilaksanakan memandangkan paras air di Tasik Puah setakat 1 Jan lepas masih di bawah paras pelepasan melalui pintu limpahan empangan,” katanya.
Menurutnya projek tersebut dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenga dan kerajaan negeri Terengganu, bukannya secara rahsia seperti yang didakwa pihak tertentu. – BERNAMA