KUALA LUMPUR – Pusat penempatan sementara mangsa banjir perlu disusun supaya lebih mesra wanita pada masa depan, demikian sidang hari kedua Parlimen Belia Malaysia di sini diberitahu hari ini.
Anggota Parlimen Belia Malaysia dari Perak, Nur Najihah Muhaimin menarik perhatian bahawa berdasarkan pengalamannya membantu mangsa banjir, rancangan itu tidak mustahil dilaksanakan.
“Kita perlu menghormati permintaan kaum wanita supaya mereka ada juga kebebasan dan berasa lebih selesa,” katanya ketika membahaskan usul pelaksanaan inisiatif pembangunan Pelan Pengurusan Bencana Peringkat Komuniti dan mekanisme pengurusan bencana di sidang itu.
Usul yang turut mencadangkan supaya program pengurusan bencana peringkat komuniti mengguna pakai Strategi Lautan Biru Kebangsaan agar lebih berimpak tinggi itu, dilulus sebulat suara.
Dalam pada itu, wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Shahril Sufian Hamdan berkata dalam mengendalikan bantuan bencana, kepimpinan tempatan memainkan peranan terpenting dan untuk itu mereka harus diperkasa dalam mengendalikan respon terhadap setiap bencana.
Wakil dari Sabah, Syed Mohd Hamizan Roslan pula mahu pengurusan bencana lebih bersifat konklusif dengan tumpuan kepada semua negeri.
“Saya juga mahu prosedur operasi standard pengurusan bencana Majlis Keselamatan Negara dilihat semula,” katanya sambil menambah ia penting bagi kelancaran pengagihan bantuan. – BERNAMA