ALOR SETAR – Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Pantai Timur, sebuah pusat pengumpulan barangan bantuan banjir dibuka di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir di Seri Mentaloon, di sini.
Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Mohd Tajuddin Abdullah berkata semua bantuan banjir yang dikumpulkan oleh Umno Bahagian Kedah dan agensi kerajaan negeri akan dikumpulkan di Seri Mentaloon.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan semua Umno Bahagian Kedah untuk mewujudkan pusat pengumpulan bantuan banjir dan barangan yang dikumpul itu akan dibawa ke Seri Mentaloon untuk dibungkus dan dihantar kepada mangsa banjir.
“Selain itu, semua agensi kerajaan negeri yang turut sama mengumpul barangan bantuan juga perlu menghantar barang di pusat pengumpulan utama. Penyelarasan ini dibuat bagi memastikan semua barangan sampai kepada mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, banyak aspek perlu diambil kira dalam operasi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir itu kerana bimbang akan terlepas pandang keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir seperti lilin berikutan bekalan elektrik terputus.
Sementara itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Alor Setar berkata warga Felda turut prihatin dengan nasib mangsa banjir di Pantai Timur dan berjaya mengumpul pelbagai barangan bernilai RM26,000.
“Kita terpanggil untuk membantu mangsa banjir ini kerana warga Felda sendiri khususnya di Jengka, Pahang dan Gua Musang, Kelantan turut terjejas akibat banjir,” katanya.
Selain barangan berbentuk makanan dan keperluan asas, beliau berkata, pihaknya turut menghantar sukarelawan terdiri daripada golongan peneroka dan anak belia Felda untuk membantu mangsa banjir,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=H49kGoIuKYA