SINGAPURA – Selama 50 tahun selepas berpisah daripada Malaysia pada 1965, warga Singapura amat berbangga dengan rekod disiplin kebersihan di republik tersebut yang mampu menyamai standard terbaik negara maju kelas pertama.
Malah, undang-undang ketat pemerintah selain hukuman berat kepada pesalah kes sampah menyebabkan republik berkenaan amat bersih sehingga Sungai Singapura yang dulunya terkenal berbau busuk kini segar jernih serta dipenuhi hidupan air.
Ironi, sikap positif itu rupa-rupanya akibat terpaksa kerana takut kepada peraturan dan ini terbukti apabila laman sosial popular Facebook tempatan memaparkan suasana amat jijik dipenuhi sampah-sarap menutupi rumput awam selepas satu keramaian tahunan.
Gambar pemandangan suasana kotor selepas selesai Festival Laneway 2015 di padang Meadow yang terletak di Garden by the Bay itu bahkan menjadi popular dan paling memalukan ia dimuat naik sendiri oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
BACA : Denda RM53,000 Sebab 34 Kali Buang Sampah Dari Atas Flat
Acara pesta hiburan dihadiri lebih 13,000 pengunjung pada sepanjang Sabtu lalu itu amat meriah dengan persembahan muzik oleh beberapa artis jemputan dan ia turut dihadiri Hsien Loong yang kebetulan melalui kawasan tersebut untuk meninjau keadaan.
Mungkin berasa aib melihat persekitaran padang itu yang bersepah dengan sampah, beliau bagaimanapun bersifat profesional dan merakamkan gambar imej memalukan tersebut sebelum berkongsi bersama-sama dengan rakan-rakan Facebook rasmi miliknya.
Posting peribadi Hsien Loong pada Rabu lalu itu mendapat hampir setengah juta ‘like’ dan beliau membuat perbandingan antara keadaan tersebut dengan tindakan murni para peminat bola sepak Myanmar yang mengutip sampah di Stadium Nasional di Kallang.
Ujar beliau, walaupun pasukan pelawat itu kalah kepada tuan rumah, Singapura dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki akhir tahun lalu, penyokong Myanmar masih disiplin membersihkan sampah di zon mereka secara sukarela di stadium utama berkenaan.
Isu sampah itu turut dikongsi bekas perdana menteri, Goh Chok Tong yang memberi komen, Singapura bakal menjadi negara paling kotor di dunia jika bukan kerana ramai warga asing sanggup bertugas menjadi pekerja kebersihan di republik tersebut. – Agensi